PETALING JAYA – Malaysia meneroka teknologi angkasa menerusi lawatan ke pusat inovasi Space42 di Abu Dhabi yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), komunikasi satelit dan analitik geospatial.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan itu merupakan langkah penting ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE)
“Saya melihat kepakaran Space42 dalam AI dan sambungan satelit mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan Malaysia, khususnya dalam pemantauan bencana alam dan tindak balas pantas.
“Dengan teknologi canggih ini, kita bukan sahaja dapat memperkukuhkan infrastruktur komunikasi negara, malah kita juga akan dapat memastikan rakyat Malaysia terus menikmati akses digital yang lebih luas dan selamat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, melalui kerjasama strategik itu, beliau optimis Malaysiamampu membina masa depan di mana teknologi memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya. – KOSMO! ONLINE