FUNGSI utama penciptaan pesawat adalah untuk memendekkan masa perjalanan dari satu lokasi ke lokasi lain.
Sebagai contoh, perjalanan menggunakan laluan udara dari Pulau Pinang ke Pulau Langkawi di Kedah hanya memakan masa kurang 30 minit.
Berada dalam penerbangan tersebut terasa seperti sangat cepat sehinggakan ada penumpang yang tidak sempat melelapkan mata.
Meskipun 30 minit boleh dikira pendek, namun ada banyak lagi penerbangan lain di dunia yang mencatatkan masa terbang lebih singkat.
Minggu ini, Panorama senaraikan lima penerbangan paling pendek di dunia seperti dipetik dalam laman web, pointhacks.com.au.
1. Westray ke Papa Westray, Scotland (57 saat)
Penerbangan paling pendek di dunia adalah dalam negara yang sangat indah iaitu Scotland.
Ia merupakan perjalanan dari Pulau Westray yang berpopulasi hanya 600 orang ke Papa Westray dengan populasi 90 orang penduduk.
Anda akan berada di udara kurang dari 3 kilometer (km) yang menyerupai standard landasan untuk pesawat komersial.
Dengan jarak 3km, penumpang dapat melihat dengan jelas tempat mereka akan mendarat.
Syarikat penerbangan Loganair menyediakan perkhidmatan untuk perjalanan yang hanya mengambil masa 57 saat itu.
Rakyat Scotland menggelarkannya sebagai jambatan udara dan penerbangan ini telah beroperasi selama 50 tahun.
2. Kegata ke Apowo, Indonesia (2 minit)
Jarak pemisah di antara Kegata dan Apowo hanyalah dua kilometer.
Pun begitu, perjalanan dengan jalan kaki atau kenderaan darat amat sukar kerana bukit yang curam dan kawasan berhutan di kampung-kampung sekitar.
Pesawat yang melewati jurang yang memisahkan kedua-dua kawasan ini sering dianggap sebagai penerbangan tersingkat di dunia kerana hanya memerlukan dua minit untuk ke destinasi.
Bagaimanapun, pesawat berenjin tunggal yang mampu membawa seramai 10 orang penumpang ini tidak mempunyai jadual penerbangan.
3. Caye Chapel ke Caye Caulker, Belize (2 minit)
Caye Chapel merupakan sebuah pulau persendirian di Belize yang mempunyai dua tarikan seperti padang golf dan landasan udara.
Caye Caulker pula sebuah pulau di Belize, namun lebih mesra pelancong. Di sini terletaknya terumbu karang yang sangat cantik untuk aktiviti menyelam.
Jarak yang memisahkan kedua-dua pulau ini hanyalah sejauh empat kilometer dan teksi air disediakan bagi membolehkan pelancong bergerak dengan mudah, namun mengambil masa agak lama.
Menariknya, syarikat penerbangan tempatan, Tropic Air menawarkan dan menghubungkan kedua-dua pulau ini dengan penerbangan komersial harian yang mengambil masa dua minit sahaja.
4. Karpathos ke Kasos, Greece (5 minit)
Siapa pernah dengar tentang penerbangan lima minit? Sudah tentu rakyat dan penduduk di Greece.
Cara yang paling biasa untuk mereka bergerak dari sebuah pulau ke pulau adalah menggunakan jalan air. Namun, terdapat beberapa pilihan jalan udara yang disediakan oleh Olympic Air.
Bagi meneroka pulau-pulau di Greece, pelancong biasanya menggunakan khidmat kapal persiaran di sekitar Laut Aegean.
Namun, Karpathos dan Kasos tidak tersenarai dalam pulau-pulau tersebut.
Jarak dari Karpathos ke Kasos adalah kurang dari 20km, namun ia mengambil masa kira-kira dua jam dengan menaiki feri.
Dengan menaiki pesawat, ia hanya mengambil masa lima minit, sekali gus mencatatkan penerbangan keempat paling pendek di dunia.
5. Connemara ke Inishmaan, Ireland (10 minit)
Lapangan Terbang Wilayah Connemara terletak 27km dari bandar Galway yang merupakan lokasi pelancongan wajib bagi pelawat jika merancang melawat Pulau Inishmaan atau pulau-pulau Aran lain.
Apa yang menarik, perjalanan dari bandar Galway ke Lapangan Terbang Wilayah Connemara mengambil masa lebih lama daripada penerbangan ke Pulau Inishmaan.
Jadi, bagi memendekkan masa perjalanan, syarikat penerbangan tempatan, Aer Arann menawarkan pesawat dengan masa hanya 10 minit dengan jarak 16km.