LIVERPOOL – Pencarian Liverpool untuk mendapatkan pemain yang sesuai sekiranya bintang mereka, Mohamed Salah meninggalkan Anfield hampir sampai ke penghujung apabila pemain yang didambakan seakan sudah ditemui.
Sejak menyertai Liverpool dari AS Roma pada Jun 2017, Salah berjaya melakar namanya dalam buku sejarah kelab itu apabila menjadi salah satu tonggak penting dengan membantu The Reds mengecapi banyak kejayaan.
Bagaimanapun, pemain antarabangsa Mesir itu ketika ini berada di penghujung kontraknya yang bakal berakhir pada musim panas tahun depan dan masih belum ada petanda positif mengenai rundingan perjanjian baharu.
Spekulasi mengaitkannya dengan beberapa pasukan menyebabkan Liverpool segera mengambil pendekatan mengenalpasti beberapa calon pemain baharu yang dilihat tidak terlalu ketara perbezaan berdasarkan prestasi dibandingkan dengan Salah.
Laporan di Perancis menyebut bahawa Liverpool ketika ini sedang mengintai kelibat pemain sayap Olympique Lyon, Rayan Cherki yang melalui permulaan musim ini dengan cukup cemerlang.
Jendela perpindahan lalu menyaksikan Cherki berjaya menarik minat banyak kelab ekoran prestasi dan nilainya yang tidak begitu tinggi kerana kontraknya hanya berbaki semusim lagi sehingga 2026.
Prestasi Cherki sebelum ini turut disamakan dengan rakan senegaranya, Kylian Mbappe apabila dia turut memulakan karier profesional seawal usia 16 tahun, malah kemampuan kedua-dua mereka dikatakan tidak terlalu ketara berbeza. – AGENSI