GOMBAK – Seorang lelaki warga asing meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta ketika berjalan kaki di Jalan 16 Perindustrian Ehsan Jaya menghala Sungai Buloh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.57 malam.
Katanya, mangsa berusia 38 tahun maut selepas dilanggar kereta yang dipandu lelaki tempatan, 27.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 malam dan kereta terbabit dalam perjalanan dari Desa Aman Puri ke Bukit Rahman Putra.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta itu terbabas dan melanggar mangsa yang berjalan kaki di sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran kejadian itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Selayang.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspector Suharman Che Musa di 019-6751727 atau bilik gerakan IPD Gombak di 03-61262222,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.