POKOK SENA – Dua pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Langkawi yang lemas di Sungai Jahang, Gopeng di Perak sepatutnya menghadiri majlis perkahwinan bekas ketua mereka di negeri itu, hari ini.
Pengarah JKR Kedah, Ir. Mohd. Fisal Ismail berkata, pihaknya difahamkan dua mangsa, Muhammad Khairul Hakeem Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, bersama lima rakan yang juga dari JKR Langkawi merancang untuk menghadiri majlis itu antara Langkap dan Teluk Intan.
“Kedua-dua arwah bersama lima rakan lain ingin menghadiri majlis perkahwinan bekas bos mereka dan saya difahamkan majlis itu antara Langkap atau Teluk Intan pada hari ini.
“Ketujuh-tujuh mereka dari JKR Langkawi singgah di situ (Gopeng) yang mana kebetulan ada aktiviti (team building JKR Seberang Perai Tengah) dan sertainya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jalan Naka, di sini hari ini.
Kata beliau, mereka merancang untuk bermalam di situ sebelum ke majlis kenduri tersebut dan pulang ke Langkawi hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohd. Fisal, pihak JKR bersimpati dengan kehilangan pegawainya itu yang disifatkan sangat komited dalam tugas mereka.
“JKR menghulurkan bantuan one off kepada keluarga mangsa dan akan menguruskan perpindahan anggota keluarga mangsa ke sini.
“Kehilangan mangsa amat dirasai dalam kakitangan JKR. Mereka merupakan pegawai yang sangat komited dalam tugas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE