KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan melakukan siasatan isu perolehan kain pakaian seragam jururawat bernilai lebih RM98.3 juta, yang kualitinya didakwa kurang baik.
Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan meneliti dakwaan berkenaan sekiranya aduan sampai kepada suruhanjaya terbabit.
“Saya belum terima dakwaan ini kalau sekiranya sampai pada saya akan teliti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Menembak SPRM Bersama Media di sini hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum menerima keputusan analisis sampel kain pakaian seragam jururawat yang didakwa tidak mematuhi spesifikasi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, siasatan terperinci masih dijalankan oleh Jabatan Kimia dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) terhadap kain pakaian seragam jururawat yang dikatakan menyamai kain kafan.
Dzulkefly berkata, beliau akan membentangkan hasil analisis kepada pengurusan tertinggi KKM sejurus menerima maklumat lengkap mengenainya.
Pada 23 Oktober lalu, media melaporkan Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) mengakui menerima maklum balas mengenai kain yang dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat sedikit keras serta tidak selesa dipakai ketika bekerja.
Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Saaidah Athman namun tidak mengulas mengenai perkara itu termasuk berhubung dakwaan kain dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat menyamai kain kafan.- KOSMO! ONLINE