PASIR MAS – Banduan yang menjalani tahanan rumah dipakaikan dengan alat peranti sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Akta Tahanan Rumah diluluskan oleh Parlimen pada tahun depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bertujuan untuk mengesan kedudukan individu yang menjalani perintah di bawah akta berkenaan.
“Undang-undang sedia ada ketika ini tidak mempunyai peruntukan yang membolehkan pesalah diletakkan di rumah.
“Jadi, RUU Akta Tahanan Rumah yang akan dibentang di Dewan Rakyat tahun depan mampu membantu kerajaan mengurangkan masalah kesesakan banduan yang sedang berlaku di penjara seluruh negara ketika ini,”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Bunga di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, jumlah keseluruhan tahanan di penjara sehingga 14 November lalu adalah seramai 86,766 orang sekali gus melepasi kapasiti sebenar iaitu 74,146.
Katanya, jika Akta Tahanan Rumah diluluskan, ia melibatkan pesalah yang berstatus tahanan reman dalam penjara.
“Seramai 28,000 banduan ditahan reman dalam penjara sementara kes mereka dibicarakan. Jadi, mereka ini yang akan menjalani tahanan rumah.
“Bagaimanapun, tahanan reman yang melibatkan jenayah berat seperti rogol, bunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (dadah) tidak diambil kira,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE