SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) akan turun ke sekolah-sekolah bagi meningkatkan pemantauan sekali gus menangani pengambilan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang berusaha menangani isu itu secara besar-besaran susulan ia menjadi kesalahan besar dalam disiplin di peringkat sekolah.
“Saya dan Ketua Pengarah dan juga Datuk KSU, kami semua akan turun untuk memberikan beberapa pendekatan dan melalui program-program dan bercakap sendiri dengan para pelajar, mengingatkan mereka tentang disiplin-disiplin yang perlu mereka perhatikan.
“Selain daripada buli, soal rokok, soal vape, ponteng sekolah, ini juga akan menjadi sebahagian daripada intervensi besar dalam gerakan kita menangani isu-isu sosial di peringkat sekolah,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, isu penggunaan vape memberi kesan dan implikasi kepada pelajar sekolah namun usaha menangani gejala berkenaan memerlukan peranan semua pihak khususnya ibu bapa.
“Kita perlukan bantuan ibu bapa juga untuk mengambil tanggungjawab, memerhatikan dan juga memastikan anak-anak mereka selamat ketika di rumah dan melihat apakah aktiviti-aktiviti yang mereka terlibat.
“KPM termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) amat tegas dalam perkara ini yang memberi kesan serta implikasi yang besar kepada anak-anak,” katanya. -KOSMO! ONLINE