JITRA – “Arwah anak sempat hantar gambar dan video keadaan sungai kepada saya, dia beritahu (paras) air tinggi. Waktu itu memang dah rasa tidak sedap hati dan minta dia berhati-hati”
Demikian kata Fatimah Walad, 70, yang masih terkejut dengan pemergian anaknya, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, yang lemas selepas bot dinaiki dalam aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Jahang di Gopeng, Perak pada semalam terbalik akibat kepala air.
Menurutnya, dalam perbualan WhatsApp kira-kira pukul 2.30 petang itu, dia turut mengingatkan anak bongsu daripada empat beradik tersebut supaya menunaikan solat kerana sudah masuk waktu zuhur.
“Arwah WhatsApp beritahu dia sudah sampai (kawasan sungai) dan arwah juga ada hantar gambar motosikalnya. Selepas itu dia beritahu nak makan.
“Selain minta berhati-hati dan jangan ‘stunt’ (terjun dalam sungai) sebab ada batu, saya pesan jangan ralit sebab dah masuk waktu zuhur, selepas itu dia jawab baiklah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permata, di sini hari ini.
Kata pesara guru itu, dia hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan anak keduanya selepas anak-anak dan saudara mara tiba di rumah kira-kira pukul 8 malam tadi.
“Mereka tidak beritahu awal kerana takut saya pengsan kerana saya ada masalah jantung, selain itu saya tinggal berseorangan. Selepas tahu kejadian itu, baru saya sedar banyak WhatsApp masuk beritahu ada kejadian menimpa rombongan JKR dan tiga orang mati lemas.
“Memang tak sangka rupa-rupanya anak saya sendiri. Walaupun sukar nak terima kejadian ini, namun saya reda. Saya sedih sebab dia anak yang manja dan dialah yang jaga, bawa saya mandi selepas saya jalani pembedahan jantung sebelum ini,” ujarnya.
Katanya, anaknya meninggalkan seorang isteri, Nur Afifah Amira Ahmad Fauzi, 29, dan seorang anak lelaki, Aisy Adani yang berusia setahun tujuh bulan.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, cuma dalam masa dua minggu ini anak tunggalnya itu tidak mahu dengan orang lain dan hanya nak duduk dengan arwah. Dia nak tidur atas lengan arwah, tidak mahu tidur atas bantal,” katanya.
Tambahnya, arwah bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR) Langkawi sejak kira-kira tiga tahun lalu dan difahamkan baru menerima tawaran kenaikan pangkat, baru-baru ini.
Jenazah Muhammad Ikram dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Melele di Padang Sera, Kodiang dekat sini selepas pukul 12 tengah hari ini.- KOSMO! ONLINE