fbpx

Bantu suntik pendapatan pemuzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGANJURAN konsert Malaysia Live menggabungkan persembahan antara artis baharu dengan lama seperti Datuk M. Nasir tengah) dengan Luka Sickta dan Kmy Kmo.

BUAT julung kalinya, sebuah konsert bersiri secara atas talian, Malaysia Live akan dipertontonkan kepada peminat muzik tanah air.

Malaysia Live mendapat kerjasama strategik antara Pam Shahril dan Shahril Razak daripada Gabung Cipta, sebuah syarikat pembekal sistem audio dan cahaya profesional bersama pengarah muzik, Datuk Acis serta penerbit konsert, Jennifer Thompson.

Menurut Acis, Malaysia Live diperkenalkan bukan hanya untuk artis-artis tanah air malah membantu semua pihak terlibat sama ada secara langsung atau tidak khususnya kepada yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, siri konsert tersebut akan bermula dengan siaran langsung dengan dua episod pengenalan pada 22 dan 29 Januari ini yang menampilkan ramai barisan artis popular.

“Objektif bukan sekadar menjana pekerjaan tetapi juga untuk menghiburkan peminat muzik tanah air dan menyuntik keterujaan persembahan walaupun dilangsungkan secara maya,” katanya.

Tambah Acis, konsert tersebut telah dirakam secara langsung tanpa penonton di KL Live@Life Centre, salah satu lokasi yang terkenal untuk persembahan konsert. Rakaman tersebut diiringi oleh pemuzik-pemuzik tersohor negara.

Bagi episod pertama, penonton boleh menonton secara premier menerusi saluran YouTube Malaysia Live tepat pukul 9 malam yang menampilkan artis seperti Aizat Amdan, Dayang Nurfaizah, Dolla, Hael Husaini, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Yonnyboii dan Zynakal yang dihoskan pengacara Nazrudin Rahman.

Episod kedua pula dimeriahkan dengan persembahan daripada Faizal Tahir, Ismail Izzani, Kmy Kmo & Luca Sickta, Datuk M. Nasir, Ruffedge, Shalma Eliana, Tuju dan Zizi Kirana yang dihoskan Adibah Noor.

Terkesan

Jelas Acis lagi, individu yang bergantung dengan persembahan hiburan secara langsung sememangnya terkesan akibat Covid-19.

“Industri muzik merupakan antara industri yang paling terjejas kerana acara-acara hiburan untuk khalayak ramai tidak dibenarkan berlangsung.

“Sekali gus berlaku pengurangan atau kehilangan punca pendapatan daripada sektor persembahan langsung yang merupakan sumber pendapatan utama artis atau pemuzik.

“Ada satu tahap mereka harus mencari pekerjaan lain untuk menyara hidup. Paling teruk, ada yang terpaksa menjual peralatan muzik yang sekian lama menjadi punca mata pencarian,” katanya yang berharap penganjuran Malaysia Live mampu memberi ruang buat semua yang terkesan untuk menjana pendapatan.

Pada masa sama, Jennifer Thompson berpendapat, bukan mereka dalam industri tidak cuba menyesuaikan diri atau meningkatkan kemahiran mengadaptasikan dengan norma baharu.

“Perubahan adalah lumrah kehidupan tetapi dalam keadaan drastik ini dan usaha menyesuaikan diri, kita masih perlu cari wang untuk makan dan membayar bil,” katanya.

Kedua-dua siri konsert tersebut direalisasikan dengan sokongan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) yang memberi tumpuan penting membantu penggiat dan perniagaan industri kreatif yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Malaysia Live, layari Facebook atau Instagram MalaysiaLiveMY atau e-mel ke [email protected].

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI