KOTA BHARU – Seorang penyeludup nyaris maut selepas kereta dipandunya yang membawa sebanyak 10 tong petrol terbakar semasa berada di depan pusat beli-belah KB Mall, Jalan Hamzah di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Saga berkenaan sempat melarikan diri sebelum kenderaan tersebut terbakar 100 peratus.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Harizu Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kebakaran sebuah kereta di kawasan tersebut pada pukul 5.17 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan memadam api yang sedang marak membakar kereta tersebut.
“Kereta tersebut didapati dibiarkan terbakar manakala pemandunya sudah melarikan diri. Semburan buih dijalankan untuk memadam api yang sedang marak.
“Pemeriksaan di dalam kereta itu kemudian menjumpai sebanyak 10 tong berisi petrol di tempat duduk penumpang depan dan belakang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Harizu memberitahu, anggota bomba mengambil masa tiga minit untuk memadam kebakaran itu.
Menurutnya, kereta terbabit terbakar 100 peratus kerana kebakaran tersebut melibatkan petrol. – KOSMO! ONLINE