TOKYO – Seorang lelaki di Jepun menjadi sensasi internet kerana mengambil makanan dan mengikuti rutin harian sama selama lebih satu dekad kerana malas untuk membuat keputusan.
Saluran berita South China Morning Post melaporkan, Go Kita, 38, mengekalkan ‘gaya hidup bebas daripada membuat keputusan selama 15 tahun’.
Menurut Kita, dia berasa terbeban kerana perlu membuat pelbagai keputusan sejak bekerja dalam industri maklumat.
“Saya nekad mengamalkan gaya hidup bebas daripada membuat keputusan yang diinspirasikan oleh bekas pemain besbol, Ichiro Suzuki,” kata Kita.
Suzuki dilaporkan mengikuti rutin harian sama yang ketat selama tujuh tahun termasuk bersarapan dengan nasi berlauk kari, melakukan aktiviti senaman dan mandi selepas bersenam.
“Saya menikmati kacang dan mi segera untuk sarapan, dada ayam untuk makan tengah hari dan daging babi tumis bersama tauge untuk makan malam pada setiap hari.
“Saya juga mengambil suplemen pada masa ditetapkan untuk memastikan diet yang seimbang,” tambahnya.
Selain pemakanan, Kita turut memakai baju, seluar, sepasang stokin dan seluar dalam gaya sama setiap hari.
Rutin hariannya yang lain termasuk bercukur, mencuci pakaian dan memotong kuku yang dijadualkan dengan teliti. – AGENSI