fbpx

Citaglobal meterai kerjasama bangunkan fasiliti solar di Azerbaijan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norza Zakaria (dua dari kanan) pada majlis pemeteraian perjanjian kerjasama di Azerbaijan baru-baru ini.

PETALING JAYA – Citaglobal Berhad (Citaglobal) telah memeterai Perjanjian Rangka Kerja bersama Pelabuhan Baku di Azerbaijan untuk menubuhkan fasiliti solar berkapasiti 5.4 MW.

Ini adalah projek tenaga boleh diperbaharui pertama di Azerbaijan yang menggabungkan kuasa solar dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) yang bersepadu untuk sektor komersial.

Inisiatif ini merupakan satu langkah penting dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di negara Azerbaijan, ke arah mewujudkan masa depan yang lebih hijau dan cekap.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Norza Zakaria berkata, perjanjian ini menandakan pencapaian besar dalam memajukan landskap tenaga boleh diperbaharui Azerbaijan dengan penyelesaian inovatif yang mengintegrasikan teknologi solar dan BESS.

“Penyelesaian yang kami laksanakan bukan sahaja memaksimumkan penggunaan tenaga bersih di tapak, tetapi juga pada tarif yang berdaya saing, mencerminkan komitmen bersama kami kepada penyelesaian tenaga yang mampan dan berkesan kos,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan  di sini kelmarin.

Projek tenaga hijau ini akan diterajui oleh Tiza Green Energy LLC, sebuah usaha sama yang dibentuk oleh Tiza Global Azerbaijan LLC dan Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Citaglobal.

Projek ini disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga (power purchase agreement) selama 21 tahun yang menjamin tarif tetap sepanjang tempoh tersebut, menyediakan kos tenaga yang stabil untuk Pelabuhan Baku dan melindungi daripada kenaikan harga grid pada masa hadapan.

Walaupun kapasitinya sederhana, projek ini merupakan langkah signifikan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui Azerbaijan.

Melalui integrasi lancar kuasa solar, Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), dan sambungan kepada grid pengedaran, projek ini menetapkan penanda aras untuk penyelesaian tenaga mampan yang boleh diterapkan di seluruh negara bagi menyokong keselamatan dan matlamat kelestarian tenaga.

Ia merupakan model sesuai yang boleh diterapkan di seluruh negara untuk memperkukuhkan keselamatan tenaga dan memajukan matlamat kelestarian, membuka jalan bagi masa depan yang lebih hijau dan cekap untuk Azerbaijan.

Inisiatif ini dijangka menjimatkan kos dalam jangka panjang dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau secara signifikan. Apabila dilaksanakan sepenuhnya, 100 peratus penggunaan elektrik tahunan pelabuhan ini akan dijana daripada tenaga hijau. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI