PETALING JAYA – Sunway Property melalui projek terbaharunya, Sunway Bayu telah berjaya mencatat jualan bernilai RM42 juta dalam acara prapelancarannya, siri kediaman teres terakhir di dalam perbandaran Sunway City Ipoh baru-baru ini.
Menarik lebih daripada 100 keluarga dalam acara tersebut, jualan berjaya diraih dalam satu hari sahaja, mencerminkan permintaan tinggi untuk kediaman teres fleksibel yang unik di perbandaran bersepadu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property Wilayah Tengah dan Utara, Chong Sau Min berkata, kejayaan ini terletak kepada faktor lokasi strategik Sunway Bayu di dalam perbandaran dengan pelan induk yang memenangi anugerah serta reka bentuknya yang inovatif dan maju.
“Respon yang positif terhadap Sunway Bayu semasa acara prapelancaran bukan sahaja mencerminkan permintaan yag tinggi terhadap kediaman inovatif dalam komuniti yang dinamik dan lestari dengan pelbagai kemudahan gaya hidup, malah menunjukkan keyakinan pembeli terhadap jenama Sunway,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Sunway City Ipoh berkeluasan kira-kira 540 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM6 bilion.
Menurut Sau Min, dengan model perniagaan berteraskan konsep bangun-milik-operasi itu, syarikat mahu perkembangkan lagi bandar baharu itu dengan pelaburan tambahan bernilai RM4 bilion.
“Pendekatan ini sejajar dengan peranan kami sebagai Pembangun Komuniti Utama dan rakan pelabur bersama komuniti kami, komited untuk kekal bersama komuniti kami serta memenuhi janji jenama kami, ‘Bersama Dengan Anda Untuk Generasi’,” jelas beliau.
Dibina mengikut spesifikasi SDDA (Sunway Design & Development Architecture) yang dibangunkan sendiri oleh Sunway Property, Sunway Bayu terdiri daripada 168 unit eksklusif rumah teres fleksibel di atas tanah seluas 3.764 hektar yang mengutamakan Kelestarian, Inovasi, Kesihatan & Kesejahteraan, serta Gaya Hidup dan Pengalaman Baharu.
Terletak berlatarkan bukit batu kapur berusia 260 juta tahun di Ipoh, Sunway Bayu menawarkan persekitaran kediaman yang unik dan berinspirasi alam semula jadi.
Dengan pensijilan GreenRE, Sunway Bayu mengintegrasikan ciri mesra alam seperti cat VOC rendah, sistem penjimatan air, dan orientasi bangunan Utara-Selatan untuk kawalan haba pasif.
Ciri penjimatan tenaga termasuk penyaman udara bertaraf lima bintang, pemanas air solar dan lampu sensor di kawasan umum, menyediakan gaya hidup yang kos efektif dan mesra alam.
Selepas prapelancaran yang berjaya, Sunway Bayu akan dilancarkan secara rasmi kepada umum bersempena dengan pembukaan rumah contoh yang dinanti-nantikan pada Disember 2024, memberikan bakal pembeli pengalaman menyeluruh terhadap tawaran gaya hidup premium. -KOSMO! ONLINE