fbpx

Kepala air korbankan tiga pegawai JKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah salah seorang mangsa lemas ketika melakukan aktiviti berakit meredah jeram (white water rafting) di Sungai Kampar tiba di Unit Forensik Hospital Kampar hari ini untuk proses bedah siasat. - FOTO ZULFACHRI ZULKIFLI./ KOSMO!

KAMPAR – Kejadian kepala air ekoran hujan lebat dikatakan menjadi punca tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas semasa melakukan aktiviti berakit meredah jeram (water rafting) di Sungai Jahang, Gopeng pada pukul 3.30 petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mereka yang lemas ialah Mohamad Khairul Hakim Hamidi dan Muhammad Ikram Abdul Bari masing-masing berumur 37 dan 29 tahun dan Suhaila Mat Saad, 47.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, hujan yang berterusan telah menyebabkan air Sungai Jahang meningkat dengan mendadak.

“Situasi itu menyebabkan bot dinaiki enam penumpang termasuk seorang jurupandu secara tiba-tiba telah terbalik. Ketiga-tiga mangsa dihanyutkan arus deras,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Nazri berkata, empat bot untuk aktiviti lasak itu daripada sebuah resort membawa 21 penumpang, lima jurupandu dan seorang jurugambar.

“Keadaan sungai semasa mereka mula melakukan aktiviti masih sesuai untuk ‘water rafting’.

“Bagaimanapun, semasa 500 meter dari tempat pelepasan, berlaku hujan berterusan menyebabkan paras air sungai naik mendadak lalu mengakibatkan bot terakhir yang dinaiki tujuh individu terbalik.

“Mangsa hanyut 800 meter dari tempat bot terbalik sebelum tiga mangsa itu disahkan meninggal dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI