KAMPAR – Tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang lemas ketika aktiviti berakit meredah jeram (water rafting) di Sungai Kampar, Gopeng dekat sini telah dikenali pasti.
Mangsa terdiri daripada Suhaili Mat Saad, 47, yang merupakan Jurutera Daerah JKR Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang manakala Mohamad Khairul Hakim Hamidi, 37, dan Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, masing-masing daripada JKR Langkawi, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, kakitangan JKR berkenaan ditemui lemas kira-kira pukul 5.56 petang tadi selepas empat kilometer (km) meredah sungai.
Kesemua mereka mengikuti program team building yang dianjurkan JKR Seberang Perai Tengah dan JKR Langkawi.
“Ketiga-tiga mangsa merupakan antara 22 peserta program team building daripada kedua-dua cawangan JKR itu serta enam pemandu pelancong yang turun ke kawasan sungai bermula petang 3.30 petang.
“Setibanya di lokasi, pasukan kami mendapati kesemua mangsa sudah dinaikkan ke tebing,” katanya.
Terdahulu, jenazah ketiga-tiga mangsa tiba di Unit Forensik, Hospital Kampar di sini kira-kira pukul 9.55 malam tadi. – KOSMO! ONLINE