KUALA LUMPUR – Arena bola sepak negara terima berita duka apabila bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dr Ibrahim Saad disahkan meninggal dunia pada usia 78 tahun.
Difahamkan bekas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu meninggal dunia di hospital swasta di Damansara.
Allahyarham yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM pada 2005 hingga 2007.
“Salam takziah saya ucapkan buat keluarga Allahyarham Tan Sri Ibrahim Saad yang juga mantan naib presiden dan Setiausaha Agung FAM yang baharu sahaja meninggal dunia sebentar tadi.
“Semoga Allahyarham dirahmati dan diharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi ujian ini,” menurut perkongsian Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media FAM, Christopher Raj.
Allahyarham cukup dikenali sebagai individu yang memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan mutu arena bola sepak negara. – KOSMO! ONLINE