fbpx

Ambulans percuma kepada rakyat Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirudin (tiga kiri) menunjukkan dokumen Belanjawan Selangor 2025 bersama exco negeri. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan menawarkan perkhidmatan Ambulans Kita Selangor secara percuma menerusi peruntukan RM1 juta daripada Tabung Selangor Bangkit.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkhidmatan ini akan dimulakan di empat Majlis Bandaraya di Selangor sebelum dipanjangkan ke pihak berkuasa tempatan lain di seluruh negeri setelah menilai keberkesanan dan permintaan dari rakyat.

Katanya, ia akan dilaksanakan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan sedia ada seperti Persatuan Bulan Sabit Merah dan St. John Ambulance Malaysia agar rakyat yang memerlukan dapat memanfaatkan perkhidmatan ambulans bagi tujuan kecemasan tanpa perlu risau mengenai kos.

“Apabila berhadapan dengan kecemasan kesihatan, antara maklum balas yang diterima oleh pentadbiran ini adalah dari segi kekangan kos untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans dalam tempoh masa yang singkat.

“Itu belum lagi kita mengambil kira jumlah pesakit yang memerlukan perkhidmatan ambulans daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk ke hospital bagi tujuan kecemasan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Amirudin menjelaskan, komitmen untuk menyediakan perkhidmatan tersebut merupakan salah satu ikhtiar dalam 5 Tekad 5 Tahun sewaktu menghadapi Pilihan Raya Negeri pada tahun lalu.

Beliau turut menjelaskan, kerajaan negeri bersetuju memperkenalkan program baharu iaitu Khairat Darul Ehsan iaitu bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000 bagi semua rakyat Selangor yang berumur 50 tahun ke atas serta warga Orang Kelainan Upaya.

“Ini dijangka memanfaatkan 20,000 orang dan programnya akan diselaraskan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang bakal bermula pada 1 Jun tahun depan dengan diperuntukkan sebanyak RM20 juta,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI