PETALING JAYA – Ada kemungkinan kita akan ditembak pada bila-bila masa dan saya dapat lihat sendiri rumah yang hancur.
Itu antara pengalaman ngeri dikongsi seorang Juruterbang Pasukan Udara Tentera Darat, Mejar Azli Urip semasa menyertai Op Daulat di Lahad Datu, Sabah kira-kira 11 tahun lalu.
Beliau yang kini mengendalikan pesawat Pesawat MD503G atau lebih dikenali ‘Littlebird’ berkata, ketika itu suasana di Lahad Datu adalah kawasan zon merah.
“Semasa Op Daulat, kita terbang di kawasan ‘red zone’ keadaan di mana kita perlu tahu ada kemungkinan kita akan ditembak dan setiap juruterbang perlu bersiap sedia.
“Di mana dekat situ saya dapat lihat rumah itu hancur dan di situ kita tahu ada kemungkinan besar juga akan ditembak pada bila-bila masa,”kongsinya di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Azli berkata, sebagai seorang juruterbang, dia perlu sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
“Kita juga perlu memastikan setiap penerbangan itu selamat dan dapat membantu dalam melicinkan operasi tersebut,”ujarnya.
Selain itu katanya, masalah teknikal pesawat juga merupakan antara cabaran paling getir seorang juruterbang ketika mengendalikan pesawat.
“Kedua, yang mendebarkan apabila pesawat kita mengalami sebarang kerosakan. Kita perlu tahu apa tindakan yang perlu dibuat ketika detik-detik cemas semasa helikopter mengalami kerosakan
“Setiap juruterbang haruslah kompetan dan berupaya dalam mengendalikan walaupun dalam keadaan tertekan ataupun kecemasan untuk mengendalikan pesawat tersebut dengan lebih baik,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE