JAKARTA – Perbuatan sekumpulan lelaki di Indonesia yang selamba menikmati minuman keras dan dadah ketika berada dalam tahanan pihak berkuasa mengundang perhatian orang ramai, lapor portal berita Liputan 6 semalam.
Kejadian berlaku di pusat tahanan Lembaga Pemasyarakatan Kelas IIA Tanjung Raja, wilayah Sumatera Selatan.
Rakaman yang disiarkan oleh stesen penyiaran, tvOneNews, menunjukkan sekumpulan tahanan sedang berjoget sambil diiringi muzik rancak.
Ada antara mereka yang bermain telefon bimbit dan menghisap syabu meskipun berada di dalam tahanan.
Lebih mengejutkan, pesta ‘haram’ itu dirakam oleh seorang pegawai yang bertanggungjawab untuk mengawal mereka.
Ketua Pengamanan Lapas Tanjung Raja, Ade Irianto berkata, pegawai tersebut telah digantung tugas.
“Pegawai yang merakam dan menyebarkan klip video tersebut sememangnya bermasalah dan sudah digantung jawatan,” tambah Ade. – AGENSI