KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mempamerkan semangat juang tinggi apabila melangkah ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Kumamoto Masters yang berlangsung di Jepun.
Lebih manis, pemain No.31 dunia itu menyingkirkan wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan, Kodai Naraoka menerusi kemenangan tiga set 21-17, 9-21, 21-16 dalam tempoh 80 minit.
Keputusan itu turut menyaksikan Jun Hao melebarkan rekod kepada tiga kemenangan ke atas Naraoka dalam empat pertemuan dengan perlawanan terakhir pada Terbuka Jepun Ogos lalu memihak kepada pemain No.4 dunia berkenaan.
Jun Hao yang masih segar dengan kemenangan ke atas seorang lagi pemain Jepun, Koki Watanabe di pusingan kedua semalam bermula dengan langkah kanan apabila memenangi set pertama sebelum kecundang di set seterusnya.
Bagaimanapun, bekas juara remaja Asia itu kembali memperkemaskan permainan di set penentuan dan berjaya memastikan kemenangan bergaya meskipun cuba diberi tentangan sengit Naraoka yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri.
Sebagai rekod, ia merupakan separuh akhir pertama Jun Hao sepanjang saingan musim ini selepas beberapa kali terkandas di suku akhir ketika beraksi pada Sepanyol Masters, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia.
Menjelang aksi separuh akhir esok, Jun Hao sekali lagi berdepan halangan sukar apabila dijadualkan bertemu pemain Indonesia, Jonatan Christie yang menewaskan jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia 12-21, 21-18, 21-18. – KOSMO! ONLINE