fbpx

Polis bantuan maut dilanggar, tercampak ke lereng bukit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi motosikal.

HULU SELANGOR – Seorang polis bantuan menemui ajal selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta sebelum tercampak ke dalam semak lereng bukit di Kilometer (KM) 408 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai nahas tersebut pukul 6.02 pagi hari ini.

Katanua, mangsa berusia 51 tahun itu dalam perjalanan dari tempat kerja di Shah Alam menghala ke rumahnya yang berada di Hulu Selangor.

“Siasatan awal kami mendapati, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dari arah Selatan menghala ke Utara telah hilang kawalan dan terbabas.

“Kenderaan itu terlanggar motosikal mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam semalam.

“Selepas kejadian, kereta itu terbabas di lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan sebelum terbabas ke lorong kanan jalan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ekoran insiden itu, penunggang motosikal yang dikenal pasti sebagai polis bantuan di sebuah agensi telah tercampak ke lereng bukit di tempat kejadian.

Menurut beliau, penunggang motosikal yang tercampak itu ditemui pada pukul 7.50 pagi tadi, di kawasan semak lereng bukit pada jarak lebih kurang 300 meter dari motosikal mangsa.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematiannya.

“Pemandu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan sudah ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kemalangan untuk tampil membantu siasatan lanjut kes ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI