PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan mengesahkan rakaman video kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong ‘kewujudan Israel’ telah disunting pihak tertentu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah meneliti keseluruhan rakaman video itu dan ternyata ia telah disunting.
“Bagi saya puak-puak yang menyunting ini, apa yang kerajaan buat, mereka tidak akan pernah gembira.
“Namun, apa yang penting ialah kita perjuangkan masa depan lebih baik untuk Palestin,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya meneliti dan membuat siasatan terhadap rakaman video Perdana Menteri itu untuk siasatan lanjut.
Fahmi berkata, pihaknya tidak pernah menghalang rakan-rakan media untuk membuat laporan mengenai rakaman video tular itu sebaliknya berhati-hati dalam melayan sebarang spekulasi.- KOSMO! ONLINE