SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM3 bilion bagi Belanjawan 2025 menerusi tema Selangor Dinamik : Cita Sempurna Malaysia Madani.
Ini seterusnya peningkatan sebanyak RM470 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM2.53 bilion.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah keseluruhan cadangan Belanjawan 2025 tersebut adalah sebanyak RM1.7 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus dan selebihnya RM1.3 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Katanya, lima teras dicadangkan bagi menjayakan belanjawan tersebut termasuk kecerdasan buatan dan pendidikan pemangkin kemajuan ekonomi negeri, mendukung hasrat alam sekitar mampan dan infrastruktur serta memupuk negeri penyayang.
Selain itu, menjuarai tadbir urus cekap dan wibawa serta membugar ekonomi kebudayaan dan pembangunan generasi muda.
“Perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan (Objek Am 20000) merupakan komponen terbesar mencakupi 38.7 peratus daripada perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri.
“Ini termasuk antaranya pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang melibatkan 26 jabatan, Elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), peruntukan bagi Elaun Jawatankuasa dan Petugas Masjid serta Sewaan Bangunan Ibu Pejabat dan sembilan buah Mahkamah Rendah Syariah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau memberitahu, anggaran belanja pembangunan tahun depan akan memberikan tumpuan lebih terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial.
Tambahnya, kenaikan peruntukan sektor infrastruktur merangkumi 31.09 peratus dari peruntukan pembangunan dengan nilai RM404.17 juta memfokuskan kepada kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal yang lebih efisien, naiktaraf infrastruktur jalan raya dan saliran dan sebahagiannya bagi promosi Tahun Melawat 2025 serta persediaan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Tahun 2026.
“Kumpulan Wang Disatukan meningkat sebanyak RM751.46 juta iaitu RM3.614 bilion pada akhir tahun 2023 kepada RM4.365 bilion manakala
kedudukan rizab semasa negeri pada 7 November lalu adalah sebanyak RM4.37 bilion.
“Hasil negeri juga telah mencapai jumlah kutipan sebanyak RM2.429 bilion setakat 13 November lalu daripada anggaran hasil tahun ini sebanyak RM2.2 bilion,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan Selangor merekodkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.43 peratus melebihi sasaran purata KDNK bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang telah ditetapkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu 6.5 hingga 7 peratus untuk tempoh 2021 hingga 2023.
“Kejayaan ini menjadi asbab RS-1 akan disambung kepada RS-2 bagi tempoh 2026 hingga 2030. Antara sasaran utamanya ingin dicapai adalah mengekalkan Selangor sebagai peneraju ekonomi negara dengan meningkatkan lagi nilai sumbangan KDNK negeri dan negara.
“Liabiliti hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan yang melibatkan baki ansuran akhir Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor yang masing-masing berjumlah RM19,207,475.78 serta RM1,893,379.47, telah dilunaskan sepenuhnya,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE