fbpx

168 kes kemalangan jalan raya babit kenderaan perdagangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Yusri Hassan

KUALA LUMPUR – Lori kontena, treler dan lori kecil antara penyumbang tertinggi kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan sejak Januari hingga September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lebih membimbangkan adalah kenderaan perdagangan ini juga mengakibatkan kemalangan maut terhadap pengguna jalan raya lain.

“Statistik kami menunjukkan sebanyak 168 kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan sepanjang Januari hingga September lalu.

“Daripada jumlah terbabit, sebanyak 97 kes adalah kemalangan maut, 32 kes kecederaan parah dan 39 kes lagi merupakan kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, sebanyak 16 kes kemalangan melibatkan kenderaan perkhidmatan.

Berikutan perkembangan itu, pihak JSPT mengambil inisiatif dengan menguatkuasakan tindakan undang-undang menerusi pelaksanaan Ops Perdagangan di negara ini.

“Hasilnya, JSPT telah melaksanakan sebanyak 4,822 operasi di jalan raya seluruh negara.

“Menerusi operasi itu, polis mengeluarkan sebanyak 38,367 saman terhadap kenderaan atas pelbagai kesalahan sementara sebanyak 177 buah kenderaan telah diambil tindakan sitaan.

“Antara kesalahan utama yang berjaya dikesan oleh pasukan JSPT sepanjang operasi itu adalah membawa muatan berbahaya dan tidak kemas, tidak memiliki tanda segitiga dan bunga tayar, lampu signal (indikator isyarat kenderaan) serta brek tidak berfungsi,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga meminta pengusaha serta majikan kenderaan perdagangan agar melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman bagi memastikan tahap kesihatan pemandu berada pada tahap terbaik, kesiapsiagaan dan kemahiran dalam pemanduan kenderaan tersebut.

Katanya, penyelenggaraan kenderaan secara berkala perlu dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal selain mematuhi sepenuhnya pemeriksaan kenderaan bagi memastikan kenderaan selamat dan layak berada di atas jalan raya.

“Pihak JSPT akan mempertingkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“JSPT tidak akan berkompromi sama sekali dalam hal ini dan akan bertindak lebih tegas dalam penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan semua pengguna di jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI