fbpx

Sekat peminjam PTPTN beli kereta, hartanah, melancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan disaran melaksanakan keadah yang lebih berkesan dalam usaha mendapatkan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada peminjam.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, kerajaan boleh memperkenalkan sistem pembayaran balik yang lebih fleksibel dan praktikal sama seperti Potongan Cukai Bulanan (PCB) terhadap peminjam PTPTN.

Menurut beliau, pembayaran balik daripada potongan gaji secara automatik akan membantu peminjam menguruskan kewangan dengan berkesan dan membolehkan kerajaan mendapatkan bayaran balik dengan lebih cekap.

“Kerajaan boleh juga mempertimbangkan untuk memperkenalkan sekatan ke atas aktiviti tertentu seperti membeli hartanah, kereta atau melancong ke luar negara bagi peminjam PTPTN yang gagal membuat pembayaran balik.

“Langkah-langkah ini mesti dikuatkuasakan dengan ketat untuk memastikan ia berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yee Fung berkata, cadangan untuk menghentikan pembiayaan PTPTN kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah tidak akan menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.

Kata beliau, menafikan pinjaman PTPTN berdasarkan kegagalan pembayaran balik orang lain bermaksud menghukum pelajar yang tidak mempunyai kawalan terhadap keadaan itu.

Beliau berkata, tindakan sedemikian akan turut memberi mesej yang salah bahawa orang yang tidak bersalah harus menderita atas tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Tanggungjawab untuk membayar balik hutang PTPTN terletak pada penghutang. Adalah tidak adil untuk mengalihkan tanggungjawab itu kepada orang lain.

“Adakah pegawai PTPTN benar-benar percaya bahawa graduan yang sudah bekerja akan berasa terpaksa membayar balik pinjaman kerana rasa bersalah atas situasi yang dihadapi pelajar yang masih dalam pengajian? Ini adalah jangkaan yang tidak realistik dan tersasar,” katanya.

Media baru-baru ini melaporkan pembiayaan PTPTN sedang mempertimbangkan untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah.

Ia sebahagian usaha dengan universiti tempatan untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI