PETALING JAYA – Langkah Kerajaan memperkenalkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bermula darjah satu pada sesi persekolahan 2027 dilihat satu beban kepada murid pada masa akan datang.
Ini kerana pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad, beliau tidak mahu murid akan menjadi ‘tikus makmal’ kelak.
Malah katanya, ketika ini tiada satu pun negara maju di dunia yang telah laksanakan pembelajaran elemen TVET pada murid di tahun pertama persekolahan.
“Adakah negara maju yang telah terbukti hebat dalam bidang TVET seperti Jerman, Jepun atau Korea Selatan telah mulakan pendidikan elemen TVET sejak murid mereka di tahun satu?
“Bagaimana pula dengan amalan TVET di Singapura atau Vietnam yang prestasi sistem pendidikan negara mereka lebih baik dari kita? Adakah mereka juga telah mulakan pendidikan elemen TVET di tahun pertama persekolahan anak-anak mereka?,”soalnya.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, dalam sektor pendidikan, apa pun idea baharu yang kita mahu lakukan (walaupun sangat menarik) sebaiknya biar ada dahulu penanda aras.
“Biarlah ada dahulu contoh kejayaan dan pengalaman dari negara lain untuk kita teliti dan perhalusi. Bukan apa, jangan sampai anak-anak kita jadi ‘tikus makmal’ nanti,”tegasnya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan elemen TVET) bermula daripada tahun satu sekolah rendah menerusi kurikulum persekolahan 2027.
Timbalan menterinya, Wong Kah Woh berkata, usaha itu akan dilaksanakan secara pembelajaran bersepadu yang menggabungkan bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.-KOSMO! ONLINE