GEORGE TOWN – Kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang telah meningkat susulan taburan hujan yang tinggi di kawasan berkenaan sejak hampir dua bulan lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, paras simpanan air mentah bagi dua empangan di kawasan pulau itu masih belum mencapai tahap optimum untuk persediaan menghadapi musim kering akan datang.
“Kapasiti efektif empangan Air Itam telah pulih ke tahap selamat iaitu 81.5 peratus setakat semalam.
“Kapasiti efektif empangan Teluk Bahang juga telah meningkat sebanyak 25.4 peratus sejak 31 Ogos lalu dan ia telah meningkat melebihi paras 50 peratus semalam,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, empangan Teluk Bahang lebih besar berbanding empangan Air Itam dan lebih banyak hujan diperlukan untuk mengisi semula ke tahap yang lebih tinggi.- KOSMO! ONLINE