fbpx

Kami sudah taubat, menyesal terlibat tragedi Tak Bai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Omar (kiri) dan Abu Bakar melawat salah sebuah tanah perkuburan menempatkan mangsa yang meninggal dalam insiden Tak Bai 20 tahun lalu.

TAK BAI, THAILAND – Dua lelaki yang dipenjara selepas terlibat dengan pergolakan di Tak Bai di sini 20 tahun lalu sudah bertaubat dan menyesal dengan penglibatan mereka dalam insiden itu.

Tempoh pemenjaraan yang dilalui oleh Omar, 55, dan Abu Bakar, 54, itu sudah cukup untuk memberi pengajaran agar tidak lagi terlibat dengan rusuhan.

Omar berkata, dia dihukum di sebalik tirai besi selama 12 tahun dan banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, selepas keluar dari penjara kira-kira empat tahun lalu, dia sudah dapat membezakan perkara hak dan batil terutamanya melibatkan perjuangan mengikut lunas Islam.

“Saya sudah bertaubat dan mahu meminta maaf kepada ahli keluarga 78 individu yang meninggal dunia dalam insiden yang berlaku 20 tahun lalu.

“Saya bersama rakan-rakan ketika itu menerima arahan dan tidak menyangka kami dapat mengumpul ramai penduduk untuk berhimpun dan membuat tunjuk perasaan di Tak Bai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.

Omar memberitahu, perbuatan lampaunya itu menyebabkan dia kini disisih oleh masyarakat malah dia masih berasa bersalah terhadap keluarga kepada individu yang meninggal dunia dalam tragedi tersebut.

Menurutnya, dia yang sepatutnya dipenjara seumur hidup atas kesalahan merusuh dalam tragedi itu hanya menjalani tempoh pemenjaraan selama 12 tahun selepas mendapat pengampunan diraja.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, dia yang pada ketika kejadian bekerja sebagai guru kini sudah tiada pekerjaan tetap selepas keluar dari penjara dan hanya mencari rezeki sebagai buruh kampung.

Menurutnya, tempoh hukuman yang dihadapinya selepas insiden di Tak Bai pada 25 Oktober 2004 itu benar-benar mengubah pendirian terutamanya dalam hal-ehwal perjuangan.

“Saya berharap semua ahli keluarga mangsa yang terlibat tidak menyimpan dendam terhadap saya. Semua pihak yang terlibat dalam insiden itu sudah menerima hukuman,” ujarnya.

Sebelum ini, kira-kira 1,500 penunjuk perasaan berkumpul di hadapan balai polis di Tak Bai di sini untuk membantah penahanan enam lelaki pada 25 Oktober 2004.

Dalam insiden berdarah itu, puluhan penunjuk perasaan ditahan dan 78 tahanan meninggal dunia akibat sesak nafas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI