PETALING JAYA – Bilangan premis Starbucks yang ditutup sementara oleh Berjaya Food Bhd. (BJFood) meningkat kepada kurang daripada 50 buah untuk tempoh suku pertama tahun kewangan 2025 (Q1 TK25) yang berakhir pada 30 September lalu.
Ini berbanding 25 buah premis yang ditutup sementara pada suku tahun sebelumnya pada Q4 TK24.
Firma penyelidikan pasaran, CIMB Securities dalam satu nota kajian yang diterbitkan hari ini berkata, penutupan tersebut didorong oleh pemulihan jualan yang lemah, di tengah-tengah tempoh boikot yang berpanjangan.
“BJFood berkongsi bahawa jumlah bilangan kedai Starbucks kekal tidak berubah, menjadikan jumlah bilangan keseluruhan kedai sebanyak 408 buah pada akhir Q1 TK25.
“Kami menjangkakan boikot berpanjangan berkemungkinan akan menjejaskan BJFood sehingga konflik Israel-Hamas berakhir,” katanya.
Firma berkenaan menambah, Kumpulan itu menjelaskan bahawa sebarang penutupan kedai yang selanjutnya (sama ada sementara atau kekal), akan tertakluk kepada semakan berkala oleh pihak pengurusan.
“Kami percaya sebarang perubahan strategik kepada operasi Starbucks BJFood di Malaysia dan Brunei, susulan lantikan Brian Niccol selaku Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks Corp pada September lalu berkemungkinan besar akan mengambil kesan seawal separuh kedua tahun kewangan 2025.
“Sementara itu, sebarang hasil yang bermakna mungkin akan mengambil masa yang lebih lama untuk direalisasikan,” katanya.
BJFood mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta bagi Q1 TK25 berbanding keuntungan bersih RM19.03 juta setahun sebelumnya, berpunca oleh impak berpanjangan sentimen pengguna susulan konflik di Asia Barat.
Pada masa sama, CIMB Securities mengunjurkan BJFood bakal merekodkan hasil lebih kukuh pada suku kedua, dirangsang musim perayaan akhir tahun. – KOSMO! ONLINE