KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi kerajaan negeri selepas menggempur kegiatan memunggah keluar bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah.
Difahamkan kegiatan memunggah keluar hasil galian di Bukit Goh di sini berkenaan dilakukan sejak 2022 dan disyaki dilindungi pegawai agensi kerajaan negeri terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam serbuan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh di sini semalam, SPRM menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit.
Katanya, dalam operasi itu SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan SPRM membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
“Berdasarkan risikan dibuat, kegiatan memunggah hasil galian di Bukit Goh itu dipercayai dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sah di mana kebenaran hanya diberikan bagi memunggah hasil sedia ada yang telah digali sebelum 2022.
“Siasatan mendapati individu berkenaan turut melakukan kerja memunggah keluar hasil galian yang baru digali,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, berdasarkan siasatan bagi melindungi kegiatan itu beberapa pengusaha lori pengangkut bahan galian terbabit telah membayar wang rasuah kepada pegawai agensi berkenaan.
Katanya, wang rasuah berkenaan adalah sebagai balasan untuk melindungi serta tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti terbabit dan SPRM masih dalam peringkat siasatan bagi mengenal pasti jumlah rasuah terlibat.
Dalam pada itu beliau berkata, susulan serbuan di lokasi berkenaan, SPRM telah membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.
“Di lokasi ini, sebanyak lima jentera iaitu empat unit ‘excavator’ dan sebuah ‘shovel loader’ selain tujuh lori pengangkut termasuk lima lori ‘dumper’ telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan sitaan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.
“Selain sitaan di lokasi terbabit, sebanyak lapan unit lori pengangkut (tipper dumper) turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng,”katanya.
Sementara itu, Majistret Wahidah Zainal Abidin membenarkan ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an direman selama enam hari sehingga 19 November ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.- KOSMO! ONLINE