DUNGUN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah membuat persiapan awal memastikan keberadaan barangan keperluan termasuk petrol RON95 dan diesel di kawasan pedalaman dan terpencil sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr. Fuziah Salleh berkata, inisiatif di bawah program Penyeragaman Harga Barang dan Community Drumming itu melibatkan 1,170 pusat penjualan di seluruh negara.
“Tujuh barangan keperluan diberi tumpuan iaitu petrol RON95, diesel, minyak masak peket, tepung gandum, beras, gula dan tong gas memasak.
“Persiapan telah dibuat bagi memastikan barangan keperluan terbabit mencukupi di semua pusat penjualan terbabit pada musim banjir ini,” katanya selepas melancarkan program Community Drumming di Kampung Kuala Jengai, Hulu Dungun di sini hari ini.
Sebuah stesen minyak mini yang membekalkan petrol RON95 dan diesel telah dibuka untuk manfaat lebih 3,000 penduduk mukim Hulu Dungun yang selama ini perlu ke Bukit Besi sejauh 28 kilometer untuk mengisi bahan api kenderaan.
Fuziah berkata, selain program Community Drumming, pemborong dan peruncit yang berada di kawasan pedalaman dan terpencil itu juga dibenarkan menyimpan lebih 30 peratus stok bekalan keperluan itu sepanjang musim tengkujuh ini.
Jelas beliau, ia membolehkan bekalan barang keperluan dan bahan api terbabit kekal stabil walaupun akses masuk ke kawasan tersebut biasanya terjejas pada musim banjir.
“Kita juga akan menganjurkan program Jualan Rahmah mengikut keperluan pada musim banjir nanti bagi menstabilkan bekalan dan harga barangan keperluan di kawasan pedalaman dan terpencil terlibat.
“Program Community Drumming juga memastikan harga barang keperluan dan bahan api berkenaan tidak melambung di kawasan sasaran ekoran subsidi kos pengangkutan diberi kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE