SABAK BERNAM – Dua ekor buaya dikatakan muncul di Sungai Bagan Terap di sini baru-baru ini.
Kehadiran reptilia sepanjang 1.5 meter (m) itu berjaya dirakam kira-kira pukul 9 malam oleh seorang penduduk sekitar pada Selasa lalu sebelum tular di media sosial.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, yang mengesahkan reptilia tersebut memaklumkan sepasukan anggota dan pegawai Perhilitan Sabak Bernam telah menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian selepas menerima maklumat berkenaan hantaran video tersebut pada 3.30 petang, keesokan harinya.
Katanya, hasil siasatan mendapati perakam tersebut hadir ke jeti Bagan Terap bagi melihat dan memantau sampannya.
“Ketika tiba di jeti tersebut, individu tersebut terlihat dua ekor buaya anggaran panjang 1.5m timbul di permukaan sungai.
“Individu tersebut terus mengambil telefon bimbitnya dan merakam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, temubual bersama beberapa penduduk yang hadir ketika siasatan turut mendapati mereka juga sedia maklum sungai adalah habitat asal buaya.
Justeru, Wan Mohd. Adib menasihati penduduk sentiasa berhati-hati apabila melakukan aktiviti di sungai dan segera melaporkan kepada pihak jabatan sekiranya terlihat kelibat hidupan liar tersebut.
“Orang ramai juga diminta berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendirian.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline PERHILITAN 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE