JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta bagi menaik taraf tiga buah Klinik Kesihatan (KK) yang uzur dan menaik taraf peralatan keperluan di klinik tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukkan yang itu disalurkan itu membabitkan Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, KK Majidee dan KK Tebrau.
Beliau berkata, peruntukan jangka pendek itu bagi menggantikan peralatan seperti mesin ultrasound, pendingin hawa, kerusi di ruang menunggu, kipas dinding, komputer dan mesin pencetak, ambulan serta meja dan kerusi untuk doktor dan jururawat.
“Susulan lawatan saya ke Klinik Kesihatan (KK) Gelang Patah, saya telah mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu klinik kesihatan yang daif, uzur, dan sesak di Johor iaitu KK Gelang Patah, KK Majidee, KK Tebrau dan KK Kulai,” katanya.
Sebelum ini, Onn Hafiz mengadakan lawatan mengejut di KK Gelang Patah melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan keadaan KK tersebut yang disifatkan sangat daif.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, bagi penyelesaian jangka masa sederhana, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta bagi pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak KK Gelang Patah ke premis lain untuk menampung keperluan dan kepadatan penduduk di kawasan tersebut.
Tambahnya, sebanyak RM1 juta juga diperuntukkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk kemudahan tempat letak kereta orang awam di KK Gelang Patah.-KOSMO! ONLINE