PETALING JAYA – Pempengaruh terkenal, Adira Salahudi, baru-baru ini menjadi perbualan hangat selepas berkongsi video dirinya yang sedang bersolek sebelum melahirkan anak ketiganya.
Dalam hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya, Adira dilihat dengan sedang duduk di atas katil hospital sambil memakai compact powder (bedak padat) dan muka lengkap dengan foundation (bedak asas), pemerah pipi serta gincu.
Tindakan Adira yang sempat ‘berdandan’ sebelum bersalin itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media. Ada yang memuji dan ada juga yang mengkritik tindakan tersebut sebagai sesuatu yang tidak wajar dilakukan ketika menghadapi situasi itu.
“Jururawat memang tak bagi bersolek kalau di hospital kerajaan. Pernah orang di katil sebelah saya kena marah sebab bersolek sebelum beranak. Jururawat suruh pergi cuci muka. ‘Lip tin’ juga dilarang pakai,” ujar Queenaya.
“Sebenarnya, solekan ini satu cara untuk tingkatkan keyakinan diri dan motivasikan diri sendiri. Ini juga satu cara nak kekal tenang bila berdepan dengan situasi menggusarkan. Mesti dia jenis suka kepada kecantikkan,” komen Mommyz bersetuju dengan tindakan Adira.
“Masa berurut dengan mak bidan sebelum bersalin, dia pesan nanti nak bersalin, pakai cantik-cantik sebab kita nak sambut kelahiran anak. Orang lain datang nak beranak pakai kain batik je,” kata Idatul. – KOSMO! ONLINE