PETALING JAYA – Jangan memandai-mandai atau buat-buat pandai, minta tolong pada yang pakar.
Itu antara teguran serta pengguna di media sosial apabila sesuatu pekerjaan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini menemui kegagalan.
Teguran itu ditujukan kepada salah satu adegan dalam filem ‘Ipar Adalah Maut’ yang memaparkan watak seorang lelaki cuba membetulkan paip yang bocor di bilik air rumahnya yang diduduki adik ipar.
Malah, lebih memburukkan apabila babak tersebut dikatakan telah menyebabkan kedua-dua mereka saling jatuh cinta dan melakukan perkara terlarang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menegur adegan tersebut dan mereka telah meninggalkan pelbagai komen.
“Pengajaran dari filem ini adalah paip patah panggil tukang paip, aircond rosak panggil ‘technican’, tak payah mengada-ngada betulkan sendiri,”tulis Adem Solution.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Faiz Khair.
“Nak baiki paip tu tutuplah paip utama dulu,”nasihatnya.- KOSMO! ONLINE