KLUANG – Seorang penunggang motosikal maut manakala dua parah selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 69.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara) pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Abd Rahim Razali berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 7.43 pagi melibatkan sebuah lori treler jenis Volvo, sebuah kereta Honda Civic dan sebuah motosikal Yamaha MT09.
Katanya, susulan daripada maklumat itu seramai 12 anggota dan dua jentera bomba jenis FRT dibantu Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam dikejarkan ke lokasi kemalangan.
“Sebaik tiba di tempat kemalangan, PKO mendapati seorang mangsa yang juga pemandu kereta Honda Civic tersepit ditempat duduk pemandu dan terpaksa dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Seorang lagi mangsa yang juga penumpang hadapan kereta Honda Civic telah dikeluarkan dan dihantar oleh pengguna jalan sebelum ketibaan PKO,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abd Rahim lagi, seorang lagi mangsa adalah penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha MT09 yang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis untuk tindakan selanjutnya manakala pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE