KUALA LUMPUR – Seorang pengurus syarikat percetakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menggunakan mesin cetak tanpa lesen yang sah dan menghasilkan penerbitan lucah lima bulan lalu.
Tertuduh Chin Chang Swee, 44, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut pertuduhan pertama, Chang Swee, didakwa telah menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah menghasilkan penerbitan yang lucah dengan menggunakan mesin cetak tersebut.
Kedua-dua perbuatan tersebut dilakukan di sebuah kilang percetakan di Desa Tun Razak, Cheras pukul 10 pagi pada 21 Jun lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun boleh denda maksima RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari KDN Muhammad Aliff Zahril Mohd Azhar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela Adam Haikal yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung kedua ibu bapanya.
“Tertuduh hanya bekerja sebagai pengurus syarikat percetakan yang hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM3,000 hingga RM3,500 sebulan,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Hakim Izralizam kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Januari 2025 bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE