RANTAU PANJANG – Hajat seorang pemandu lori untuk menghantar sebanyak 540 pokok orkid seludup bernilai RM145,000 tidak kesampaian apabila dia dicekup semasa tiba di sekatan jalan raya (SJR) Chabang Empat Salam di sini semalam.
Lori jenis Daihatsu itu ditahan kira-kira pukul 12.45 tengah hari semasa anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, lori tersebut dilihat dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa anggota PGA menjalankan tugasan di SJR itu.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, lori itu membawa sebanyak 540 pokok orkid dianggarkan bernilai RM145,000 yang dipercayai diseludup dari Thailand tanpa dokumen yang sah.
“Pokok orkid tersebut juga disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
“Pemandu lori yang berusia 33 tahun itu dipercayai berperanan sebagai penghantar pokok-pokok tersebut untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, PGA akan terus mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Berdasarkan rekod, tangkapan itu merupakan rampasan ketiga melibatkan penyeludupan pokok orkid oleh PGA dalam tempoh seminggu.
Terdahulu, PGA berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan empat jenis tanaman hiasan orkid, bunga nanas, mayang sari dan bonzai dari Thailand bernilai RM2.52 juta selepas menahan dua buah lori di lokasi berasingan di Kampung Kubang Rambutan di sini dan Pasir Mas pada 9 November lalu.
Sehari kemudian, PGA sekali lagi dapat menggagalkan cubaan untuk menyeludup sebanyak 280 pokok hiasan jenis orkid bernilai RM980,000 selepas menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza di Jalan Kasban, Kampung Simpangan, Tumpat.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, pemilik nurseri atau kebun untuk anak-anak pokok disemai disyaki menjadi dalang kegiatan menyeludup pokok-pokok hiasan dari Thailand untuk dijual di negara ini.
Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati, pemilik-pemilik nurseri yang berada berdekatan dengan Sungai Golok di negeri ini berkemungkinan terlibat aktiviti menyeludup pokok-pokok itu. – KOSMO! ONLINE