fbpx

Bunga mewangi Bella Dowanna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA DOWANNA

JIKA tidak mengenalinya, tiada siapa yang menyangka wanita tinggi lampai dan berambut panjang mengurai bernama Bella Dowanna itu baru sahaja menginjak usia 18 tahun.

Dia mula berkecimpung dalam industri seni sejak umurnya enam tahun sebagai bakat cilik dalam iklan komersial. Bella kemudian mula melibatkan diri secara serius dalam bidang lakonan pada usia sembilan tahun menerusi drama Begitulah Sayang arahan Ahmad Idham.

Biarpun berjalan perlahan, namun namanya sedikit demi sedikit berkembang mekar selepas membintangi beberapa drama terkenal seperti Cemburu Seorang Perempuan, Budak Tebing dan terbaharu, Biarkan Mereka Cemburu.

Watak penyendal

Siapa sangka rezeki menjadi wajah tempelan dalam beberapa buah drama sebelum ini membuahkan hasil apabila dia ditawarkan memegang watak utama dalam filem M4M4 (MAMA) di samping pelakon hebat Nabila Huda dan Faizal Hussein.

Akui anak kelahiran Kuala Lumpur itu, pengalaman tersebut memberi peluang untuk memancarkan sinar bakatnya kepada umum.

BIARPUN sudah hampir sedekad bergelar anak seni, namun Bella tetap berasakan dirinya perlu untuk menimba ilmu lakonan terutama daripada pelakon senior.

“Nama saya memang tidak begitu dikenali sebelum ini. Kalau ada yang berjumpa di luar, mereka tidak tahu pun nama saya.

“Tetapi selepas filem M4M4, semakin ramai yang mula mengenali saya. Tidaklah sampai tahap dikerumun peminat tetapi hanya memanggil nama saya atau diajak bergambar.

“Apa-apa pun saya tetap optimis bahawa rezeki akan sentiasa ada, tidak kisah lambat atau cepat. Rezeki tidak akan datang bergolek, semuanya memerlukan usaha keras,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Walaupun wajahnya pernah menghiasi sebuah filem sahaja setakat ini, tetapi Bella mengakui pengalaman yang ditimba daripada para pelakon senior sangat lumayan nilainya.

Mengangkat Nabila sebagai aktres yang hebat, dia sentiasa meletakkan dirinya sebagai pucuk muda yang dahagakan ilmu-ilmu dunia lakonan daripada pelakon senior.

BIARPUN kerjayanya bergerak perlahan, namun Bella sentiasa percaya rezeki tetap ada jika disertakan usaha keras.

“Lumayan bukan bermaksud saya bayar untuk mendapatkan ilmu lakonan tetapi saya menyerap semua teknik dan emosi yang mereka lontarkan.

“Nabila sendiri sangat hebat dalam gelanggang dunia lakonan, jadi mengapa perlu saya lepaskan peluang keemasan sebegitu,” kata pemilik nama penuh Qystinna Istajibilla Dowanna Halim itu bersemangat.

Impak Budak Tebing

Sudah hampir 10 bulan drama Budak Tebing yang disiarkan di TV3 berakhir, akan tetapi impak naskhah milik Feroz Kader tersebut masih kerap diperkatakan dalam media sosial sehingga ada permintaan untuk musim kedua.

Bella yang memegang watak utama iaitu Laura dalam drama berkenaan mendedahkan berita gembira bahawa Budak Tebing musim kedua akan menemui penonton tidak lama lagi.


PENGLIBATAN Bella dalam drama Budak Tebing meninggalkan kesan cukup kuat untuk karier seninya kerana dari situ dia semakin dikenali ramai.

“Bulan depan saya akan memulakan penggambaran Budak Tebing musim kedua. Tidak sangka ramai yang membuat permintaan supaya drama tersebut disambung, tidak puas katanya.

“Bagaimanapun, saya masih tidak tahu bilakah tarikh tayangan sebenar. Cuma yang pasti akan ada pelbagai kejutan menanti penonton termasuklah kehilangan beberapa watak,” kata wanita tinggi lampai itu meninggalkan 1,001 tanda tanya.

Diajak berbicara tentang penglibatan dalam naskhah berkenaan, Bella menyifatkan peluang berlakon bersama Adam Lee, Eyka Farhana dan Aedy Ashraf memberi pengalaman yang berbeza buat dirinya.

“Setiap pelakon mempunyai idea baharu yang sangat segar dan cara lakonan berbeza. Disebabkan itulah drama tersebut meletup!,” katanya dengan nada teruja.

HAMPIR sedekad menjadi pelakon, Bella bersyukur kerana kehadirannya dalam industri disedari selepas dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 ABPBH33) tahun lepas.

Drama yang ditayangkan sekitar Mac tahun lalu tersebut turut memberi impak berbeza kepada perjalanan seninya.

Bella tidak menyangka bakat lakonan yang dipertontonkan kepada umum selama hampir sedekad lamanya semakin membuahkan hasil selepas tercalon bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH33) Oktober lalu.

“Walaupun saya sudah berlakon hampir 10 tahun, tetapi sebenarnya Budak Tebing yang berjaya membuatkan nama saya dikenali sehingga tercalon bagi kategori tersebut.

“Ini menunjukkan bahawa saya berjaya mempunyai kelompok peminat sendiri sekali gus membuktikan bakat diterima ramai. Impian saya adalah untuk menjadi pelakon pelapis wanita yang dikenali kerana bakat,” ujarnya yang memiliki 410,000 pengikut dalam Instagram.

SPM

Pada usia 18 tahun, Bella mengakui dia belum berpeluang mempunyai memori menjawab kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya diambil tahun lalu berikutan penundaan sesi persekolahan akibat penularan pandemik Covid-19.

BELLA antara pelajar SPM yang terjejas akibat persekolahan ditunda berikutan penularan pandemik Covid-19.

Tuturnya, dia kini hanya mengikuti kelas secara dalam talian sama seperti calon SPM yang lain.

“Susah sebenarnya belajar secara dalam talian tetapi apakan daya, inilah norma baharu yang kami perlu biasakan.

“Jujurnya sangat sukar hendak fokus sebab gangguan lebih banyak berbanding kelas fizikal,” katanya.

Tambah pelakon drama Bila Cupid Jatuh Cinta itu lagi, dia sendiri tidak pasti tarikh sebenar SPM akan berlangsung kerana sudah beberapa kali dipinda.

“Lucu juga apabila fikirkan semula sebab orang lain tamat persekolahan ketika umur 17 tahun. Sebaliknya berlaku pada zaman saya, usia 18 tahun baru hendak duduki SPM,” selorohnya ceria.

Sombong

Menjentik ruang perbualan dengan pertanyaan nakal tentang timbul dakwaan mengatakan dia seorang yang bersikap hidung tinggi, Bella hanya mampu menggelengkan kepala.

Sudah acap kali dia menerima komen tentang perkara berkenaan tetapi realitinya tidak pernah sekali pun perasaan sombong bersarang dalam dada menguasai diri.

RAUT wajah yang serius dan garang menimbulkan perspektif ramai bahawa Bella merupakan seorang yang sombong.

“Mungkin disebabkan wajah saya sentiasa serius, sebab itulah orang cop saya sombong.

“Realitinya saya seorang yang ramah, cuma mungkin lambat ‘panas’ dengan individu yang baru dikenali,” katanya seraya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI