PETALING JAYA – Petinju legenda, ‘The Iron’ Mike Tyson bertindak di luar dugaan apabila menampar muka Jake Paul ketika sesi bertemu empat mata sebelum mereka bertarung esok.
Provokasi bermula apabila Tyson yang naik ke pentas pergi ke arah Paul, 27, yang sedia menunggu sebelum menampar dengan tangan kanan ke pipi lawannya.
Pengawal peribadi kedua-dua petinju itu kemudian meluru untuk meleraikan mereka dan memberikan perlindungan sebelum membawa Tyson dan Paul masuk.
Ketika pengacara ingin mendapatkan ulasannya, Tyson hanya mengatakan “masa untuk bercakap sudah tamat”.
Paul membalas dengan nada marah mengatakan ia sudah jadi peribadi dan menjerit akan membuatkan Tyson cedera parah dalam perlawan sebenar nanti.
Tyson, 58, yang mempunyai berat 228.4 paun kembali ke gelanggang buat kali pertama dalam tempoh 19 tahun untuk bertinju secara profesional berdepan Paul dalam pertarungan yang dinanti-nantikan di Stadium AT&T.
Pertarungan itu akan disiarkan secara langsung pada pukul 9 pagi waktu Malaysia di platform Netflix.- KOSMO! ONLINE