GUA MUSANG – Seramai 28 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup dalam serbuan menerusi Ops Kutip/Sapu yang dijalankan di beberapa buah premis di tiga buah kampung di daerah ini.
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 2 petang kelmarin hingga semalam itu menahan warga asing lelaki melibatkan 18 orang warganegara Indonesia, tujuh warga Bangladesh, dan tiga lelaki Myanmar.
Menurutnya, kesemua PATI yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 50 tahun itu diberkas di Kampung Jerek, Ladang Pos Blau dan Kampung Meranto di sini.
“Kesemua warga asing dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,”katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE