PETALING JAYA – Aplikasi myBarber yang dibangunkan oleh idea dan inovasi darpada sebuah syarikat tempatan yang diterajui oleh golongan muda, telah menjadi sebuah platform yang dapat membantu memudahkan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut kepada pelanggan secara online.
myBarber yang dikuasakan oleh jenama lokal popular iaitu Todak itu berjaya merapatkan jurang antara pelanggan dan tukang gunting rambut terbaik, menawarkan kemudahan, kecekapan dan kualiti yang dapat diakses bila-bila masa.
Melalui aplikasi terbaharu itu juga, pengguna kini boleh membuat temu janji untuk mendapatkan khidmat menggunting rambut dengan keperluan penjagaan lain dengan mudah, menjimatkan masa dan tenaga.
Pengasas syarikat, Muhammad Saiful Amirul Nasharuddin berkata, visi perniagaan adalah merevolusikan proses tempahan perkhidmatan grooming tradisional, membolehkan pengguna menempah khidmat potongan rambut, meneroka portfolio barber di kawasan berdekatan dan membuat pembayaran tanpa tunai dengan mudah.
“Kami berhasrat menjadi destinasi utama untuk semua keperluan penjagaan rambut, mencipta pengalaman lancar dan mudah bagi pelanggan serta tukang gunting,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran aplikasi versi beta, myBarber di SneakerLAHdi sini baru-baru ini.
Mengenai ciri-ciri aplikasi myBarber, Muhammad Saiful Amirul yang berpengalaman selama lima tahun dalam bidang tersebut berkata, pelanggan boleh mendapat kemudahan tempahan perkhidmatan penjagaan rambut dengan cepat.
“Pengguna boleh mencari tukang gunting mahir berdekatan dengan melihat portfolio dan memilih berdasarkan ulasan orang ramai,” katanya.
Tambah beliau, platform tersebut memberi sokongan kepada tukang gunting sambilan) menyediakan perkhidmatan panggilan ke rumah dan membantu meluaskan rangkaian pasaran mereka sedia ada. -KOSMO! ONLINE