“PERNIAGAAN ini adalah satu perkara baharu buat saya kerana latar belakang saya tidak ada kena mengena langsung dengan pelancongan.
“Perasaan untuk berkecimpung dalam perniagaan ini hadir semasa saya menetap di Mekah Al-Mukarramah ketika mengikuti suami bertugas di sana.”
Itu antara butir kata yang keluar dari mulut wanita berjiwa kental berusia 50 tahun ini tatkala memulakan bicara bersama Aura mengenai apa yang dilakukannya kini.
Langsung tidak pernah terfikir bakal menguruskan perniagaan dan perkhidmatan di bawah agensi pelancongan dan umrahnya sendiri, Norlela Abdul Razak bagaimanapun bersyukur semuanya dipermudahkan Allah.
Menurutnya, sebelum terjun dalam perniagaan, dia hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa yang memberikan perhatian kepada suami dan dua anak lelakinya.
Pun begitu, semuanya berubah tatkala dia mengambil keputusan untuk mengikut suaminya yang bertugas di Mekah beberapa tahun lalu.
“Bila setiap hari saya berada di Masjidil Haram, satu perasaan yang sangat halus hadir dalam hati saya untuk melihat keluarga, sahabat handai malah mereka yang tidak mampu untuk sujud di lantai Baitullah.
“Ia satu perasaan yang tidak boleh diungkapkan bila melihat titisan air mata jemaah di hadapan kaabah dan kerana itu jugalah saya mula menceburi bidang ini (pelancongan).
“Awalnya, saya juga pernah menjadi mangsa penipuan syarikat dan agensi pelancongan di Tanah Haram yang tidak bertanggungjawab.
“Maka, bermula dari situ saya jadikan pengajaran serta mengorak langkah melakukan segalanya dengan tangan saya sendiri agar jemaah tidak lagi ditipu dan dapat disantuni dengan sebaiknya,” ujarnya.
Norlela memberitahu, Lavender Holidays telah didaftarkan pada tahun 2003 oleh pemilik lain dan diambil alih sepenuhnya dirinya pada 2018 dengan pentadbiran pengurusan dan pasukan yang baharu.
Meskipun masih ‘hijau’ dan baru menginjak enam tahun memberikan perkhidmatan, wanita asal Tanjung Malim, Perak ini bersyukur rata-rata pelanggannya berpuas hati dengan servis yang ditawarkan syarikat.
Akuinya, pencapaian yang paling terkesan di hatinya adalah bila mana melihat keseluruhan jemaah dapat disantuni seperti dirancang.
“Alhamdulillah sehingga ke hari ini, jemah di bawah Lavender Holidays belum pernah terkandas.
“Segalanya daripada bantuan Allah dan doa yang tidak pernah putus daripada keluarga serta Alumni Lavender Holidays,” katanya.
Seperkara lagi, Lavender Holidays turut pernah diberi kepercayaan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) untuk membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia dari luar negara pada 2020 ketika dunia dilanda Covid-19.
Berkongsi mengenai cabaran menguruskan perniagaan, Norlela memberitahu, perkara yang paling memberi dugaan baginya dan staf adalah ketika menguruskan serta menyantuni jemaah.
“Tidak semua yang hadir ke bumi barakah ini datang dengan hati yang ikhlas mencari pengampunan Allah.
“Kadangkala ada program yang terpaksa kami batalkan atau tidak memenuhi apa yang jemaah mahukan membuatkan mereka tidak berpuas hati.
“Tanah Haram ini sangat subjektif, meskipun kami cuba penuhi semua program atau logistik, tetapi bila Allah tidak izinkan maka ia tidak akan terjadi,” katanya.
Menjawab mengenai keunikan yang ditawarkan berbanding pesaing lain di pasaran, Norlela memberitahu, mereka menerapkan konsep ‘dari satu keluarga menjadi keluarga’.
“Sehingga ke hari ini hampir 3,000 jemaah telah menjadi Alumni Lavender Holidays yang aktif dan menjadi keluarga yang saling bertanya khabar.
“Setiap tahun juga kami akan satukan alumni di bawah satu bumbung dengan majlis tahunan dipanggil jalinan kasih,” katanya.
Lavender Holidays turut menawarkan pengembaraan antarabangsa bermula serendah RM495 ke beberapa negara seperti Indonesia, Vietnam, Jepun, Korea, Turkiye, Balkan, Yunnan dan banyak lagi.