SELEPAS 10 tahun Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dilancarkan, graf kualiti bakat muda yang dilahirkan daripada program berkenaan kelihatan semakin menunjukkan penurunan.
‘Graduan’ pertama pemain elit yang menganggotai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah NFDP pernah menghadirkan harapan besar kepada peminat bola sepak tempatan apabila skuad ketika itu dilihat mempunyai kualiti setara dengan tuntutan bola sepak moden.
Namun, situasi sebaliknya yang berlaku ketika ini apabila satu demi satu kejohanan peringkat umur yang disertai Malaysia khususnya di peringkat kelayakan Piala Asia B-20 2025 dan B-17 2025 berakhir dengan kegagalan.
Keputusan itu mencetuskan pelbagai andaian tentang kualiti produk daripada NFDP dan AMD hingga lebih parah ia tidak lagi dianggap sebagai ‘kilang’ pemain berpotensi untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.
Pengenalan NFDP adalah bersandarkan kepada visi untuk melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia secara konsisten dan turut membawa misi mewujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak sistematik dan menyeluruh ke arah meningkatkan pembangunan bakat, ekosistem, kuantiti serta kualiti pemain negara.
Sejak penubuhannya, kos yang dibelanjakan juga membabitkan nilai yang besar, namun hasilnya masih lagi tidak mampu dizahirkan mengikut apa termaktub dalam visi dan misi penubuhannya.
Banyak perkara yang dikatakan menjadi penyebab, namun aspek ketelusan pemilihan pemain di peringkat paling bawah dan pemilihan pemain terbaik menyertai AMD juga menjadi ‘buah mulut’ pemerhati dan peminat ketika NFDP diberikan status sebagai satu program elit, bukannya akademi ‘biasa-biasa’.
Selain itu, peranan yang dimainkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam melakukan check and balance’ etika pemilihan pemain juga sangat diperlukan kerana badan induk itu sepatutnya menjadi pihak paling utama untuk memantau ataupun membuat satu garis panduan yang lebih signifikan.
Kemampuan NFDP/AMD yang berjaya melahirkan beberapa bintang utama bola sepak tempatan seperti Arif Aiman Hanapi dan beberapa nama lagi yang meneruskan kerjaya dengan kelab tempatan di Liga Malaysia tidak boleh disangkal, namun peranan sedemikian seharusnya terus diperkasakan.
Selain Luqman Hakim Shamsudin yang kini berkelana di luar negara, nama-nama seperti Harith Haiqal Adam Afkar, Ahmad Zikri Khalili sudah pun menjadi tonggak penting buat skuad Liga Super, Selangor FC turut berjaya dilahirkan menerusi NFDP dan begitu juga dengan Sikh Izhan Nazrel yang kini menyarung jersi Penang FC.
Ketika ini, NFDP mengguna pakai lima struktur utama, bermula dengan akademi tuas, pusat latihan daerah, Sekolah Sukan Negeri, Sekolah Sukan Malaysia dan AMD dan proses penghasilan bakat.
Bagi tempoh 2021 hingga 2030, program ini juga menggariskan sembilan inisiatif utama iaitu memperkasakan pembangunan bola sepak wanita, penubuhan akademi peringkat zon, perkasakan bidang kejurulatihan dan pembangunan akar umbi secara menyeluruh.
Selain itu, penstrukturan sistem pertandingan yang sistematik, penekanan terhadap sains dan perubatan sukan, pencarian bakat di setiap peringkat, hala tuju pemain yang jelas dan penglibatan serta pendidikan ibu bapa turut dititik beratkan.
Untuk rekod, perkembangan semasa NFDP dan AMD juga sudah pun menarik minat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila menterinya, Hannah Yeoh bercadang untuk merujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi melakukan kajian terhadap prestasi semasa institusi berkenaan.