SHAH ALAM – Tempah tukang urut secara dalam talian dengan bayaran perkhidmatan seks sebanyak RM200 bagi satu-satu sesi antara modus operandi berjaya dikesan dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen, kelmarin.
Dalam serbuan selama lima jam bermula pukul 10 malam di sekitar Damansara dan Shah Alam turut mengesan beberapa tukang urut sedang leka melayan nafsu lelaki mata keranjang.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan tersebut hasil risikan pihaknya termasuk terhadap aktiviti tidak bermoral di kalangan warga asing.
Katanya, menerusi Op Gegar, Sapu dan Selera melibatkan secara keseluruhannya dua premis pusat urut dan sebuah hostel pekerjanya selain dua premis kedai makan.
“Dalam serbuan juga kita terpaksa memecahkan pintu hostel pekerja pusat urut selepas tidak mendapat kerjasama oleh penghuninya.
“Ada yang cuba melarikan diri termasuk menyorok di belakang tilam dan belakang tangga,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan, sepanjang serbuan tersebut seramai 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 16 wanita ditahan hasil pemeriksaan terhadap 43 individu.
Tambahnya, secara pecahan melibatkan 11 warga Thailand, India (8) manakala Bangladesh dan Vietnam masing-masing lima orang selain tiga untuk warga Indonesia dan Myanmar.
“Selain itu, penangkapan juga melibatkan seorang masing-masing untuk warga China, Nepal serta Sri Lanka. Kesemua PATI berusia 17 hingga 45 tahun.
“Mereka didapati melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah, tinggal lebih masa dan salah guna lawatan sosial,” ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan majikan pusat urut serta mengeluarkan saman saksi terhadap lima individu bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) dan 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 selain Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE