PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu muzium di Malaysia diperhebatkan dengan pelbagai paparan sejarah dan warisan negara sendiri.
Penegasan itu disuarakan selepas beliau dan delegasi mengunjungi Grand Egyptian Museum di Giza atas pelawaan Kerajaan Mesir.
Menurutnya, lawatan itu membuka peluang mendalami keunikan dan kekayaan warisan budaya masyarakat Mesir terdahulu.
“Saya percaya muzium di Malaysia juga boleh diperhebat dengan memperbanyakkan paparan sejarah serta warisan budaya negara kita,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, muzium itu juga baharu dibuka dan merupakan yang terbesar di dunia.
Malah katanya, muzium terbabit turut menempatkan lebih daripada 100,000 artifak bersejarah Mesir.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Anwar telah mengadakan lawatan rasmi ke Republik Arab Mesir selama empat hari bermula Sabtu lalu atas jemputan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.
Kunjungan itu akan membuka peluang dan lembaran dalam membincangkan kemajuan hubungan Malaysia dan Mesir selain menerokai bentuk kerjasama baharu. – KOSMO! ONLINE