fbpx

Promas anjur MIBS, pameran komoditi, eksport Malaysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chong Chong Tik pada sidang akhbar berhubung MIBS 2024, Pameran Komoditi Import dan Eksport Malaysia 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia Promas International Business Society (Promas) bekerjasama dengan ES International Event Management Sdn. Bhd (ES Management) bakal menganjurkan Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia (MIBS) 2024 dan Pameran Komoditi Import dan Eksport Malaysia 2024 untuk kali ke-19 pada akhir bulan ini.

Acara yang akan dijalankan selama tiga hari bermula 28 November ini dijangka melibatkan  550 reruai  daripada seluruh negara termasuk perusahaan tempatan.

Menurut Pengarah Urusan ES Management, Datuk Chong Chong Tik, penglibatan syarikat tempatan dalam pameran tersebut telah bertambah kepada 40 peratus pada tahun ini berbanding hanya 10 peratus sahaja syarikat tempatan yang menyertai acara ini tahun lepas. 

“MIBS 2024 akan memfokuskan kepada empat kategori utama iaitu pakaian dan fabrik, komoditi pintar, produk makanan kesihatan dan pelengkap serta makanan dan minuman.

“Pameran kali ini turut dijangka menjadi pameran antarabangsa Malaysia yang inovatif dan luar biasa, yang mana kami menyediakan platform yang menonjol untuk usahawan import dan eksport tempatan mempamerkan produk mereka di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media Pameran Komoditi Import dan Eksport Malaysia 2024, di sini semalam.

Pameran tersebut telah mendapat sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya, wakil daripada agensi kerajaan serta ahli, rakan kongsi dan lebih 50 persatuan perdagangan domestik dan antarabangsa.

Selain itu, Chong Tik menerangkan, selain penglibatan syarikat tempatan, pameran tersebut turut mendapat sambutan baik daripada pembeli antarabangsa.

Sehingga kini, terdapat lebih daripada 300 pembeli antarabangsa telah mendaftar untuk menyertai acara berkenaan.

“Kami menawarkan penginapan secara percuma selama tiga hari dua malam di hotel empat bintang untuk pembeli antarabangsa bertujuan untuk memudahkan mereka dan dalam masa yang sama  mengalu-alukan kehadiran mereka ke acara penting itu,” ujarnya.

Tambah beliau, program itu juga akan menjadi platform yang memberi peluang untuk mempamerkan kepakaran Malaysia dan memupuk hubungan industri, menyokong pendekatan pembangunan dan saling menguntungkan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI