HIDANGAN lauk-pauk kampung pasti menambat selera siapa sahaja tanpa mengira umur.
Lebih menarik, aneka juadah tersebut dinikmati di pondok kayu atau lebih dikenali sebagai dangau sambil mata dijamu dengan pemandangan bendang menghijau.
Mengambil konsep pondok kayu di sawah sebagai ruangan menjamu selera, Dangau Langkawi yang terletak di Kampung Mawar, Ulu Melaka, Langkawi, Kedah mula beroperasi sekitar tahun 2022.
Pemilik Dangau Langkawi, Mohd. Zaidi Abu Hassan memaklumkan, kedai makan miliknya itu pada awalnya hanya menjual dua menu iaitu laksa utara dan mi celup, selain menawarkan variasi minuman kopi.
“Ketika negara mula pulih daripada Covid-19, saya yang memang merupakan anak jati Langkawi mengambil keputusan membeli tanah sawah.
“Semasa awal berniaga, saya hanya ada beberapa pondok kayu kecil atau lebih dikenali oleh penduduk tempatan sebagai dangau.
“Idea untuk membuat dangau itu diberi oleh rakan-rakan terdekat, sekali gus membuatkan saya ingin memberi nama kedai ini, Dangau Langkawi,” katanya.
Mohd. Zaidi yang juga pempengaruh media sosial dan mesra disapa Cik Di dalam kalangan pengikut serta pelangganya memberitahu, perniagaan kopi di situ hanya bertahan selama setahun selepas mesin kopi dibelinya rosak.
Tambahnya, disebabkan isterinya yang dikenali Cik Na berbakat memasak, pengikut dan pelanggan setianya menyarankan mereka memperkenalkan juadah masakan asal Langkawi yang merangkumi lauk-pauk Melayu asli.
Ujarnya, Dangau Langkawi menawarkan lebih 10 pilihan sajian lauk-pauk kampung terdiri daripada hidangan popular di negeri Jelapang Padi itu khususnya di Langkawi.
Beritahunya, semua hidangan itu disediakan sendiri oleh enam tukang masak berkebolehan dengan menggunakan resipi rahsia sambil dipantau kualiti oleh isterinya.
“Menu utama di sini adalah ikan bakar dua benua (sambal dan buttermilk) yang menjadi hidangan signatur, udang masak sambal petai, gulai ikan nyok-nyok atau bawal dan lala masak lemak.
“Kami turut menawarkan ketam masak lemak, sotong sambal, ayam goreng, sotong dan udang goreng kunyit, sayur campur, telur dadar crispy, latok (bermusim), sambal belacan dan ulam-ulaman segar yang kebanyakannya ditanam sendiri di sekitar premis.
“Lauk-pauk mula disediakan bermula pukul 12.30 tengah hari dan variasi makanan laut seperti ikan, udang, sotong, lala dan ketam perlulah ditimbang sebelum dimasak serta dihidangkan kepada pelanggan menggunakan talam.
“Selepas pukul 4 petang, kami turut menawarkan masakan panas seperti kuetiau goreng, mi udang serta set aneka sup seperti ayam, daging dan tulang yang dihidang bersama nasi,” katanya sambil memaklumkan Dangau
Langkawi mampu memuatkan seramai 120 pelanggan pada satu-satu masa.
Jelas Mohd. Zaidi, Dangau Langkawi yang beroperasi setiap hari kecuali Selasa dari 12.30 tengah hari hingga 7 malam itu turut membawakan persembahan muzik asli daripada kakitangan Makam Mahsuri pada setiap Rabu.
Antara kemudahan di kedai makan itu termasuklah parkir yang luas, tandas, ruang makan tingkat atas, gazebo dan surau (bermula Disember) serta ‘spot’ bergambar di kawasan bendang berlatarbelakangkan Gunung Raya dan Gunung Machinchang.
Dangau Langkawi turut mendapat pengiktirafan sebagai Zero Kilometer (KM) Geogastronomy daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) sebagai premis yang menggunakan dan memanfaatkan bahan (masakan) dari Langkawi.