fbpx

Dua beranak pengedar rokok seludup dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rokok seludup dan dua buah kereta jenis Honda City yang dirampas daripada dua beranak.

KLANG – Kegiatan sindiket penyeludupan rokok didalangi dua beranak sejak setahun lalu berakhir apabila ditangkap dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.

Kedua-dua suspek lelaki berusia 27 dan 49 tahun termasuk warga Bangladesh bertaraf pemastautin tetap (PR) dicekup sepasukan polis dari Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam tempoh dua jam bermula 10.30 malam.

Warga Bangladesh itu dipercayai telah lama berada di negara ini sebelum berkahwin dengan warga tempatan.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Rizal Mohamed berkata,  hasil risikan membawa kepada penangkapan seorang suspek berusia 27 tahun yang sedang memandu sebuah kereta jenis Honda City di Jalan Datuk Harun, Sungai Kembong, Pulau Indah.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sejumlah 160 karton rokok tidak bercukai yang disembunyikan di dalam but belakang kenderaan berkenaan.

“Soal siasat kemudiannya membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di Taman Pandamaran Permai yang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup itu.

“Turut dirampas 430 karton rokok seludup lagi bersama seorang lagi suspek warga Bangladesh yang merupakan bapa kepada suspek pertama serta sebuah lagi Honda City,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua buah kereta bernilai RM155,135.60.

Rizal menegaskan hasil siasatan juga mendapati sindiket dua beranak ini memfokuskan pengedaran rokok seludup kepada kedai runcit sekitar Pendamar, Pulau Indah dan Pekan Klang sejak setahun lalu.

“Kedua-dua suspek bersama hasil rampasan telah dibawa ke Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI